Sunday, April 25, 2010

Pengenalan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Jelawat,bachok

Rancangan Kawasan Khas

RKK disediakan bagi tujuan menyegerakan satu rancangan pemajuan terperinci yang bercorak tempatan dan bagi kawasan yang mempunyai kepentingan khusus. Dalam menentukan pemilihan kawasan untuk penyediaan RKK, perlu diberi pertimbangan kepada dua (2) faktor iaitu kepentingan kawasan dan saiz kawasan RKK. Umumnya saiz keluasan RKK perlulah bersesuaian dan mudah urus (manageable), tertakluk kepada keperluan pihak berkuasa berkenaan. Sebagai panduan, dicadangkan saiz kawasan RKK yang melibatkan kawasan pembangunan / kawasan tepubina adalah tidak melebihi 100 hektar.


Keluasan Dan Lokasi

Kawasan yang tertakluk di bawah RKK Jelawat adalah berkeluasan 100.41 hektar (248.12 ekar). Ia terletak di bahagian selatan Daerah Bachok iaitu di dalam kawasan Gunong Timur, merangkumi tiga mukim iaitu Mukim Pekan Jelawat, sebahagian Mukim Bator dan Mukim Rusa. Kawasan kajian adalah di bawah pentadbiran Majlis Daerah Bachok (MDB).

Profil Penduduk

Jumlah penduduk semasa kawasan RKK dianggarkan seramai 2,300 orang. Penduduk bumiputera merupakan majoriti kaum yang mendiami kawasan RKK. Jumlah isirumah yang dianggarkan seramai 5.3 orang bagi setiap unit rumah kediaman berdasarkan Rancangan Struktur Bachok. Berdasarkan semakan gunatanah, didapati taburan bangunan dan rumah-rumah kediaman sediada adalah secara berselerak dan kebanyakannya tertumpu di Mukim Pekan Jelawat berbanding Mukim Rusa dan Mukim Bator.


Strategi Perancangan Rkk Jelawat

Asas pembentukan bagi strategi pembangunan RKK Jelawat terdiri daripada beberapa perkara utama iaitu:

* Isu-isu sektoral
* Cadangan Awal Sektoral
* Kesediaan dan kesesuaian tanah untuk pembangunan
* Penterjemahan dasar-dasar di peringkat
* Rancangan Tempatan (RT).

Strategi pembangunan RKK yang dicadangkan adalah seperti berikut:


* Pengekalan zon gunatanah perniagaan sediada dengan penambahbaikan dilakukan ke atas struktur bangunan, elemen lanskap dan perabot jalan.
* Bangunan perniagaan baru dicadangkan bagi menambah ruang perniagaan sediada bagi memenuhi keperluan ekonomi penduduk.
* Mencantikkan imej bandar melalui rekabentuk bandar yang menonjolkan ciri-ciri tempatan dengan mengintegrasikan dengan kawasan perniagaan baru.
* Menyusun semula gunatanah perumahan melalui penekanan penyediaan kawasan kediaman yang mampan dan lengkap dengan kemudahan bagi memenuhi keperluan komuniti.
* Menyediakan Skim Perumahan Mampu Milik seperti rumah kos rendah bersesuaian dengan taraf ekonomi penduduk setempat.
* Mengoptimakan penggunaan ruang di dalam setiap unit kejiranan agar menjadi lebih efektif dan efisien.
* Pengekalan fungsi dan hierarki jalan utama sediada di samping meningkatkan sistem rangkaiannya melalui penyediaan infrastruktur dan pengangkutan yang bersepadu.
* Mengadakan sistem jalan tempatan bagi meningkatkan tahap kebolehtelapan serta penyediaan laluan alternatif sebagai “On Turning Road”.
* Cadangan menaiktaraf jalan kampung dan rizab jalan sediada.
* Menekankan pembangunan yang tidak menjejaskan alam sekitar dengan menjadikan sungai sebagai kawasan lapang dan rekreasi. Pembangunan dicadangkan lebih terarah ke bahagian selatan kawasan RKK selaras dengan cadangan jalan baru Kampung Bator ke Kampung Sening dan kampus Universiti Malaysia Kelantan. Strategi yang telah digariskan ini adalah berdasarkan kepada faktor-faktor seperti mengekalkan tren pembangunan semasa dan projek komited, menggunakan sepenuhnya kemudahan infrastruktur sediada di sepanjang jalan-jalan utama dan menggalakkan pembangunan yang lebih terancang terutamanya di sepanjang koridor utama sediada yang mempunyai tekanan pembangunan yang tinggi.

No comments:

Post a Comment